‘Syurga’ pemerhati burung liar’ – Utusan Malaysia

September 12, 2015

 

JERANTUT 26 Ogos – Taman Negara Kuala Tahan di sini mampu menjadi destinasi popular dalam kalangan peminat burung kerana diangggarkan terdapat lebih 450 spesies burung dikenal pasti hidup di situ termasuk dari luar negara.

 

Keadaan itu dapat menjadikan Taman Negara sebagai ‘syurga’ bagi para pemerhati burung sekali gus mempelbagaikan lagi produk ekopelancongan di kawasan berke­naan yang cukup dikenali dengan keunikan hutan hujan tropika berusia lebih 130 juta tahun selain keindahan sungai, gunung, flora, fauna dan kepelbagaian biodiversiti.

 

Aktiviti memerhati burung me­rupakan satu kegiatan rekreasi ber­sifat mesra alam dan berimpak rendah yang digemari oleh jutaan peminatnya menerusi acara-acara menarik di merata-rata tempat pada setiap tahun.

 

Satu kajian oleh Perkhidmatan Hidupan Liar dan Ikan Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan pada Disember 2013 mendapati, di AS sahaja terdapat seramai 47 juta peminat aktiviti memerhati burung iaitu 20 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara berke­naan.

 

Menyedari potensi berkenaan, Persatuan Pengusaha Pelancongan Taman Negara dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Pejabat Pelancongan Pahang, Tourism Malaysia, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Persatuan Pengusaha Pelancongan Kuala Tahan (PPPKT) menganjurkan Program Memerhati Burung di pusat peranginan hutan tropika itu, baru-baru ini.

 

Program tersebut diselenggarakan Persatuan Pencinta Burung Taman Negara bersama PPPKT berikutan kejayaan aktiviti sama pada tahun lepas yang menarik ramai penggemar burung liar dari dalam dan luar negara.

 

Sebanyak 76 spesies burung liar diperhatikan menerusi teropong dan lensa kamera jarak jauh oleh para peminat dan pelancong yang menyertai program tersebut.

 

Pengerusi Persatuan Pencinta Burung Taman Negara, Abdul Jalil Abd Rahman, 49, berkata, kegiatan yang turut dikenali sebagai ‘Avitou­rism’ di Taman Negara itu dilaksa­nakan secara komprehensif dan akan disenaraikan dalam Kawasan Penting Burung (IBA) kerana taburan spesies burung di situ antara yang terbesar di rantau ini.

 

Katanya, Malaysia berada di tem­pat kelima di benua Asia sebagai destinasi pilihan pemerhatian burung liar selepas negara India, China, Thailand dan Indonesia.

“Kita menganjurkan program ini bagi menarik ramai penggemar hidupan burung liar dari seluruh dunia dan pelawat tempatan kerana Taman Negara baru sahaja pulih daripada musibah banjir tahun lepas.

 

“Pada masa sama, ia merupakan pendedahan kepada pengusaha hospitaliti dan ahli persatuan ini tentang aktiviti memerhati burung sebagai satu produk yang boleh diketengahkan.

 

“Walaupun penganjurannya melibatkan perbelanjaan agak besar untuk penyelenggaraan, namun kesannya dapat menarik ramai pelancong ke Taman Negara,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

 

Sementara itu, Pengurus Mutiara Taman Negara Resort (MTNR), V. Nathan berkata, Program Memerhati Burung disambut baik oleh pengusaha hospitaliti di situ dengan menjalinkan kerjasama bersama MNS menerusi kegiatan konservasi burung liar dan tapir yang sinonim dengan pelancong berkunjung ke situ.

 

“Inisiatif program ini menerusi kolaborasi bersama pemain dalam sektor pelancongan supaya kegiatan memerhati burung menjadi satu produk yang signifikan dengan Taman Negara kerana pelbagai spesies burung liar boleh ditemukan di sini.

 

“Diharapkan program seperti ini dapat meningkatkan lagi jumlah kehadiran pengunjung ke Taman Negara Kuala Tahan,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, seorang pelancong dari Rusia, Boris Zolotov, 54, berkata, dia teruja melihat pelbagai spesies burung tropika yang berlainan dengan unggas hidup di habitat iklim sederhana dan sejuk di tempat tinggalnya.

 

Kata beliau, penyertaannya dalam program memerhati burung di Taman Negara Kuala tahan mendapati pelbagai spesies burung liar dan vairiasi warna bulunya dapat dilihat hidup di situ.

 

Namun, katanya, burung-burung berkenaan agak sensitif dengan bunyi tapak kaki dan suara manusia menjadikannya agak mencabar untuk memerhatikan sepuas-puasnya.

 

“Taman Negara Kuala Tahan bukan sahaja menyajikan aset biodiversiti belum tercemar secara lebih dekat, malah siulan burung liar pada waktu awal pagi cukup memberi kedamaian, kekuatan dan semangat kepada pengunjung,” katanya.

 

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/pahang/8216-syurga-8217-pemerhati-burung-liar-1.128830#sthash.WIuwKzg9.dpuf

 

 

 

 

 

    

 

 

 

Share on Facebook
Please reload

RECENT POSTS

Please reload

SEARCH BY TAGS
ARCHIVE