top of page

SD Guthrie angkat biodiversiti Pulau Carey, bidikan Tuah Roslan tawan hati juri

ree

SHAH ALAM – Penganjuran sulung SD Guthrie Carey Heritage Bird Photography Competition 2025 baru-baru ini berjaya meraikan kekayaan biodiversiti Pulau Carey yang terkenal dengan keindahan flora dan fauna tersendiri.


Lebih menarik, pulau yang terletak di Utara Banting itu merupakan sebahagian daripada laluan utama migrasi unggas di rantau ini, selain menjadi habitat lebih 65 spesies burung langka dan terancam.


Seramai 44 jurugambar dan pencinta burung dari seluruh negara sanggup ‘berkampung’ selama tiga hari bermula 3 Oktober lalu demi membidik foto terbaik sekali gus merebut gelaran juara.


Mana tidaknya, hadiah lumayan dengan jumlah keseluruhan RM11,500 menjadi buruan ramai peserta pertandingan anjuran SD Guthrie dengan kerjasama Ecotourism & Conservation Society of Malaysia (ECOMY) itu.


ree

Sepanjang pertandingan, peserta berpeluang merakam pelbagai spesies burung di lima lokasi utama iaitu Palm Oil Experience Centre (POEC), Biodiversity Park, Mangrove Research Centre, Carey Island Golf Club dan Golden Hope Academy.


Uniknya, setiap kawasan menampilkan keistimewaan bermula dari hutan bakau, padang hijau hingga ke taman biodiversiti yang menjadi tempat persinggahan burung migrasi pelbagai negara.


Barangkali tuah buat penama Tuah Roslan apabila hasil bidikan foto Si Burung Wak-Wak (White-breasted Waterhen) paling mencuri tumpuan juri.


Berkongsi kemenangan manis di platform Facebook, Tuah turut merakam penghargaan kepada semua pihak termasuk SD Guthrie, ECOMY dan Sony Malaysia atas usaha bersama menjayakan acara yang hebat berkenaan.


Bagi beliau yang pertama kali menjejakkan kaki ke sana, timbul satu persoalan tentang kehadiran burung di kawasan berkenaan.


“Banyakkah burung di sini? Hutan paya bakau memang terkenal dengan pelbagai spesies burung, tetapi mencari yang 'rare' memerlukan kesabaran tinggi.


ree

“Mata saya terpaku pada sebuah sungai yang dipenuhi bunga teratai ungu dan putih. Wow! Ini memang tempat idaman. Kalaulah ada Common Kingfisher hinggap di atas teratai ni...confirm podium!,” kongsinya.


Pesara dari Pontian, Johor itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 beserta barangan eksklusif seperti T-shirt rasmi, beg galas bertali, botol air, topi bucket, tuala gim dan lanyard.


Tempat kedua dimenangi Norhisham Mahmud (Common Kingfisher) dan ketiga, Muhammad Norsaifudin Sulaiman (Common Kingfisher) yang masing-masing menang wang tunai RM3,000 serta RM2,000.


Donald Chin Wee Hing dengan foto Whistling Duck menduduki tempat keempat dengan hadiah RM1,000 manakala S Keshav (Spotted Dove) dipilih sebagai pemenang kelima.


Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad yang turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut.


Click here to read the original article from Sinar Harian.

Comments


RECENT POSTS

SEARCH BY TAGS
ARCHIVE
bottom of page