Terputus bekalan makanan, NGO hantar bantuan guna bot penambang ke kampung Orang Asli Bateq

JERANTUT: Sukarelawan Bird Group Taman Negara (BGTN) bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Ekopelancongan dan Konservasi Malaysia (ECOMY) melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan apabila menghantar bantuan barang keperluan dapur kepada kira-kira 50 buah keluarga Orang Asli etink Bateq yang tinggal di hutan tropika Taman Negara Kuala Tahan dekat sini.


PENDUDUK Orang Asli etnik Bateq sedang menurunkan barang keperluan dapur daripada bot sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kampung Yong, Kuala Tahan di Jerantut, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD


Keluarga berkenaan iaitu di Kampung Yong, Kampung Teresek, Kampung Dedari dan Kampung Cangkung antara yang terputus barang keperluan dapur sejak dua minggu lalu dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.


Pengerusi BGTN, Roslan Abu Kassim berkata, penghantaran bantuan itu menggunakan bot penambang kerana penduduk tersebut tinggal di pesisir Sungai Tembeling dan anak Sungai Keniam dan Sungai Tahan.


“Sukarelawan kami membawa barang keperluan dapur menggunakan bot penambang ke perkampungan tersebut dan Tok Batin Orang Asli berkenaan cuma datang mengambil pek barang makanan di bot yang berhenti di tebing sungai kerana kita mematuhi prosedur operasi standard (SOP).


“Barang makanan ini diangkut ke kawasan penempatan mereka dan Tok Batin mengagihkan bantuan ini kepada ketua keluarga penduduk berkenaan,” katanya di Kampung Yong Taman Negara Kuala Tahan di sini hari ini.


Menurut Roslan, barang keperluan dapur itu merupakan sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur, iaitu Malaysian Medical Relief Society (MERCY Malaysia) dan Kenchara Soup Kitchen.


“Sumbangan barang keperluan dapur kedua NGO ini termasuk beberapa agensi lain sebelum ini telah ditempatkan di stor bank makanan Dangau Rezeki Komuniti Kuala Tahan di bawah pengurusan BGTN dan Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung Kuala Tahan sejak sekatan perjalanan menyeluruh.


“Selain penduduk Kuala Tahan yang memperolehi bantuan ini, BGTN selaku pengantara NGO dengan masyarakat minoriti Orang Asli Bateq telah berhubung dengan Tok Batin untuk menghantar bantuan ke perkampungan berkenaan.


“Kita menggunakan bot penambang lebih mudah kerana penempatan Orang Asli berdekatan dengan sungai lagipun tidak boleh dimasuki oleh kenderaan pacuan empat roda kerana kampung mereka (Orang Asli) dalam kawasan Taman Negara,” katanya.


Roslan menambah penghantaran bantuan menggunakan bot penambang oleh sukarelawan BGTN, JKKK serta bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Tahan mengambil masa hampir lima jam.


“BGTN akan terus menghantar bantuan secara berperingkat ke beberapa buah lagi perkampungan Orang Asli di Taman Negara supaya memastikan mereka tidak terputus barang keperluan dapur dan tembakau dalam tempoh ini,” ujarnya. – UTUSAN


Click here for original article at Utusan Malaysia.

RECENT POSTS